Friday, January 22, 2010

Rakyat Johor Berdukacita

Khabar sedih kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, di Hospital Pakar Puteri di sini pada jam 7.15 malam tadi disambut penuh dukacita seluruh rakyat. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, membuat pengumuman itu secara langsung melalui televisyen kira-kira jam 11.25 malam tadi pada sidang media khas di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, di sini.
Berikutan kemangkatan baginda, Abdul Ghani memaklumkan bahawa perintah berkabung diisytiharkan serta-merta dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang selama tujuh hari bermula dari tarikh pemakaman baginda, hari ini.
Terdahulu, katanya, Upacara Pemasyhuran Pemangku Raja, Tunku Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor akan disempurnakan di Istana Besar sebelum upacara pemakaman berlangsung.
Beliau berkata, bangunan kerajaan juga diarahkan mengibarkan bendera separuh tiang bagi tempoh sama manakala semua bentuk hiburan baik waktu siang, mahupun malam hari pemakaman diarah dibatalkan.
Selain itu, katanya, semua masjid dan surau juga perlu mengadakan tahlil dan bacaan doa terhadap roh Almarhum selepas solat Maghrib tujuh hari dari tarikh pemakaman itu.
“Semua kerabat diraja akan berkabung 40 hari, manakala rakyat jelata akan berkabung tujuh hari dari tarikh pemakaman,” katanya yang mengumumkan hari ini sebagai cuti umum bagi Johor.
Abdul Ghani berkata, jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Besar, Istana Besar Johor bagi membolehkan diziarahi rakyat jelata dari jam 9 pagi hingga 10.30 pagi ini, manakala orang kenamaan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.
Katanya, jenazah Almarhum akan diarak ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, dekat sini, pada jam 1.20 tengah hari dan dijangka dimakamkan pada jam 2 petang.
Menurutnya, peraturan berkabung seperti digariskan kerajaan negeri ialah lelaki Melayu dikehendaki memakai tanda lilit putih selebar dua inci pada songkok hitam.
Katanya, bagi rakyat bukan Melayu, satu lilitan kain hitam selebar tiga inci dipakai di lengan kiri bersama tali leher hitam dan bagi pasukan beruniform, lilitan kain hitam selebar tiga inci perlu dipakai di lengan kiri.
Menurutnya, bagi wanita Melayu, mereka dikehendaki memakai tudung putih, manakala perempuan bukan Melayu memakai lilitan kain hitam selebar tiga inci pada lengan kiri.
Bagi menghadiri upacara pemakaman pula, orang ramai perlu memakai kain putih selebar dua inci pada songkok hitam dan berbaju Melayu Teluk Belanga hitam bagi lelaki Melayu manakala orang bukan Melayu pula dikehendaki memakai sut hitam bersama tali leher hitam selain kain lilit hitam selebar tiga inci dipakai di lengan kiri.

Sunday, December 20, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431

Semoga iman diperkuatkan, amalan ditambah, perjuangan menegakkan syiar Islam dimantapkan.

Monday, September 28, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Warga Sendeng Segamat Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin Kepada Semua Pengunjung Blog Ini...

Monday, August 3, 2009

Warkah Dari Gelanggang Sendeng UiTMJ

KEM JATI DIRI SENDENG DI FELCRA TEBING TINGGI

PSSSM UiTMJ akan mengadakan satu sesi Kem Jati Diri Sendeng di Felcra Tebing TInggi , Segamat pada 14 - 15 Ogos 2009. Terbuka kepada semua anak sendeng untuk join sekali. Yuran penginapanRM32

Kem Jati Diri Sendeng terbuka kepada semua pesilat sendeng daerah dan rakan muda yang berminat untuk menyertainya. Tarikh telah berubah pd 2 -3 Oktober 2009.

SESI LATIHAN GELANGGANG SENDENG UiTMJ

Sesi Latihan Gelanggang Sendeng UiTMJ akan diadakan pada setiap Sabtu pagi 9 - 11.00 di Dewan DST UiTMJ.

Friday, July 31, 2009

SELAMAT HARI PAHLAWAN


Selamat Hari Pahlawan kepada semua pahlawan-pahlawan melayu yang menyumbangkan bakti kepada bangsa dan negara.Gambar-gambar di atas adalah orang-orang yang sepatutnya dianggap pahlawan baik dari segi jasa kepada negara atau kepada menaikkan nama Silat Sendeng.Terima Kasih Kepada mereka dan Al- Fatihah kepada mereka yang telah tiada.

Tuesday, July 21, 2009

Sendeng seni silat rasmi Johor

LEDANG 13 Julai - Seni silat sendeng yang mula diasaskan 54 tahun lalu di Bukit Kangkar, di sini kini diangkat sebagai seni silat rasmi Johor dan ia akan dikembangkan sebagai identiti negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, usaha untuk memperluaskan seni silat berkenaan akan dijalankan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan ia akan meliputi pelbagai strategi termasuk memperkenalkannya di semua mukim di negeri ini.
Menurutnya, sasaran utamanya dalam pengembangan seni silat sendeng adalah kepada generasi muda negeri ini kerana pelbagai manfaatnya untuk pertahanan diri, kesihatan serta membina sahsiah dan peribadi mulia.
“Seni silat sendeng adalah kepunyaan rasmi orang Melayu Johor kerana diasas dan dilahirkan di negeri ini kira-kira 54 tahun lalu oleh anak jati Johor di Bukit Kangkar, dekat Sungai Mati yang terletak di daerah Ledang iaitu di kawasan saya sendiri.
“Oleh itu, adalah wajar kerajaan negeri mengangkat perguruan seni silat itu sebagai silat rasmi negeri Johor kerana silat itu dewasa dan mantap daripada segi sejarah, kurikulum pembelajaran, undang-undang pertubuhan serta garis panduan persilatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Silat Sendeng yang menghimpun seramai 1,000 pesilat berusia semuda lima tahun hingga 80 tahun dari seluruh negeri ini di Dataran Ledang kelmarin.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff dan Pengarah YWJ, Jama Johan.
Menteri Besar berharap seni silat sendeng akan dapat diangkat seperti tarian zapin yang begitu sinonim dengan identiti dan jati diri negeri Johor.
Beliau berkata, penubuhan Unit Pengembangan Seni Silat Sendeng oleh YWJ akan membantu merealisasikan matlamat itu di semua mukim di negeri ini agar memiliki kumpulan seni silat sendeng dalam tempoh tiga tahun ini.
“Semua Pegawai Daerah, Pengarah Pelajaran Johor dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan akan dianugerahkan sebagai ahli kehormat pertubuhan seni silat sendeng Johor, manakala jurulatih sepenuh masa dan sambilan akan ditugaskan di setiap mukim.
“Selain itu, satu festival seni silat sendeng akan dianjurkan dalam tempoh dua tahun seperti festival zapin dan ghazal yang sering diadakan,” katanya.
Pada majlis itu, Abdul Ghani turut melancarkan buku bertajuk ‘Seni Silat Sendeng Sejarah dan Kurikulum Pembelajaran’ yang ditulis Pegawai Sejarah YWJ, Kamdi Kamil.
Sumber: Utusan Malaysia, 14 Julai 2009

Sesi Latihan Gelanggang Sendeng Segamat

Sesi Latihan Bagi Pertubuhan Seni Silat Sendeng Daerah Segamat

Hari : Setiap Jumaat malam Sabtu & Sabtu malam Ahad

Masa : 9.30 Mlm - 11.00 mlm

Lokasi : Gelanggang Silat Tahang Rimau Segamat